Dunia Herba HPA

Serangan Resdung

Posted on: 8 Oktober, 2007

Serangan resdung

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

Jangkitan bakteria

MEMANG rimas jika kita sering mengalami gejala selesema seperti hidung tersumbat, sakit pada pipi, sekitar mata dan kepala, terutama pada waktu pagi. Manakala tekak pula terasa bagai dipenuhi kahak. Jika anda mengalami gejala ini hampir setiap hari, ia mungkin menandakan anda mengalami masalah sinusitis.

Sinusitis ialah keradangan pada lapisan membran dalam mana-mana ruang sinus. Sinusitis juga menyebabkan kita menjadi sangat sensitif kepada bahan yang boleh menyebabkan alahan, termasuk perubahan cuaca (sejuk), pencemaran alam sekitar dan jangkitan bakteria.

Pada tulang tengkorak kita ada beberapa lubang berisi udara dan diselaputi mukus serta membuka ke dalam kaviti (ruang) hidung. Ruang ini dipanggil sinus.

Sinusitis adalah masalah yang sangat lazim di seluruh dunia. Jika dibuat imbasan pada 10 orang normal, 80 peratus didapati ada mengalami masalah sinusitis ringan yang tidak perlu apa-apa rawatan.

Di Amerika Syarikat contohnya, dianggarkan 37 juta rakyatnya mengalami masalah sinusitis setiap tahun dan jumlah ini dijangka lebih tinggi kerana gejala sinusitis akibat jangkitan bakteria sering disalah anggap sebagai selesema atau alahan dan ramai tidak berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Sama juga halnya di Malaysia. Dianggarkan 60 hingga 65 peratus rakyat negara ini ada masalah sinusitis. Bagaimanapun, daripada jumlah ini kurang daripada 50 peratus datang mendapatkan rawatan dan ramai memilih kaedah tradisional untuk ‘menghilangkan’ keradangan sinus.

Ruang sinus kita secara semula jadinya diselaputi mukus (lendir) sebagai perlindungan. Mukus yang terkumpul ini dialirkan ke dalam saluran hidung supaya ruang sinus sentiasa bersih. Apabila kita selesema atau mendapat serangan alahan, sinus mengalami keradangan dan tidak dapat mengalirkan mukus. Pengumpulan mukus ini menyebabkan hidung tersumbat dan boleh mengundang jangkitan bakteria.

Menurut Perunding Pembedahan Telinga, Hidung, Tekak — Kepala dan Leher, Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Dr Mohd Husni Ahmad, sinusitis boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu akut (berlaku dalam tempoh pendek) dan kronik. Bagaimanapun, sinusitis kronik adalah lebih lazim dan boleh boleh berlaku kepada sesiapa saja pada semua peringkat umur.

Banyak punca boleh menyebabkan sinusitis, antaranya:

  • Jangkitan bakteria — Ini adalah punca sinusitis yang paling kerap. Dianggarkan 85 peratus kes sinusitis berpunca daripada selesema biasa yang tidak dirawat dan berlanjutan lama. Ini bermakna seseorang individu itu mengalami jangkitan bakteria sekunder yang berlaku ketika selesema.
  • Perubahan cuaca sejuk.
  • Jangkitan fungus.
  • Masalah sistem imun seperti dialami penghidap virus HIV dan pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi.
  • Jangkitan pada gigi (ketika rawatan gigi yang merebak ke ruang sinus).
  • Jangkitan yang berlaku ketika berenang atau menyelam dalam air yang tercemar dan masuk ke ruang sinus.
  • Pernah mengalami kemalangan yang menyebabkan keretakan tulang muka.

Walaupun sinusitis boleh berlaku kepada sesiapa, risikonya lebih tinggi di kalangan pesakit asma, mengalami ketumbuhan (polip) dalam hidung, alahan (pada habuk dan debunga) dan ada masalah membabitkan aliran mukus (lendir) dalam sistem pernafasan seperti sista fibrosis.

Gejala

Secara umumnya gejala sinusitis bermula sebaik anda bangun tidur pada waktu pagi seperti sakit kepala dan seluruh muka, terutama pada pipi, kening atau dahi. Rasa sakit kepala bertambah apabila anda baring kembali atau menundukkan kepala.

Sinusitis Akut

Gejala sinusitis akut biasanya berlaku berlarutan sehingga empat minggu. Antara ciri-ciri sinusitis akut ialah:

# Demam.

# Hidung tersumbat.

# Berhingus (hingus meleleh ke belakang tekak, sama ada berwarna hijau, kuning atau mengandungi darah).

# Sakit kepala.

# Sakit muka, terutama di bahagian sinus.

Sinusitis Kronik

Gejala sinusitis kronik pula lebih panjang sehingga melebihi 12 minggu. Ia boleh dikenali dengan gejala:

* Tidak demam.

* Hidung tersumbat.

* Berhingus (hingus meleleh ke belakang tekak).

* Banyak kahak (sama ada putih atau hijau).

* Sakit kepala berterusan.

* Kurang atau hilang keupayaan menghidu (deria bau).

Dr Husni berkata, sinusitis juga boleh berlaku pada kanak-kanak, tetapi biasanya ia jarang dikesan kerana gejalanya menyerupai selesema biasa. Bagaimanapun, kanak-kanak mungkin mengalami sinusitis jika dia menunjukkan beberapa gejala seperti:

* Selesema panjang antara 10 hingga 14 hari.

* Demam atau tidak. Jika demam, tidak terlalu panas.

* Berhingus (meleleh ke belakang tekak) yang menyebabkan sakit tekak, batuk, nafas berbau dan kadangkala muntah.

* Sakit kepala (biasa pada kanak-kanak lebih besar berumur enam tahun ke atas).

* Lesu.

* Keliling mata kelihatan bengkak.

Bila perlu berjumpa doktor?

Jika keradangan sinus tidak mendatangkan masalah, anda tidak perlu mendapatkan rawatan. Ramai orang ada dalam kategori ini. Bagaimanapun, jika sinusitis mula menyebabkan gangguan pada kesihatan seperti demam, sakit kepala dan leher, muka sakit dan bengkak, anda disaran berjumpa doktor.

Rawatan

Menurut Dr Husni, beberapa kaedah rawatan boleh digunakan untuk mengatasi sinusitis, iaitu dengan pengambilan ubat seperti antibiotik. Walaupun sinusitis akut lebih berbahaya, ia mudah diubati berbanding sinusitis kronik. Rawatan sinusitis akut biasanya mengambil masa 10 hingga 14 hari dengan pengambilan antibiotik.

Kira-kira 80 peratus kes sinusitis boleh hilang dengan pengambilan ubat dan hanya 20 peratus tidak menunjukkan respons terhadap ubat.

Bagaimanapun, pesakit perlu memastikan ubat atau antibiotik yang diberi doktor dihabiskan, walaupun gejala sinusitis hilang sepenuhnya.

Ini satu-satunya cara untuk menghapuskan bakteria yang menyebabkan jangkitan untuk masalah sinus. Masalah yang kerap berlaku ialah ramai tidak menghabiskan ubat apabila dirasakan sihat kerana tindakan ini ‘membantu’ membentuk bakteria yang mempunyai daya ketahanan tinggi terhadap antibiotik.

Jika sinusitis disebabkan alahan, doktor mungkin memberi anda ubat kortikosteroid dalam bentuk semburan hidung atau pil. Pengambilan ubat ini seharusnya boleh mengurangkan gejala sinusitis dan sakit kepala.

Jika masalah masih tidak berkurang dengan pengambilan ubat, doktor mungkin mencadangkan anda menjalani pembedahan dipanggil antral-puncture and wash-out. Ia prosedur pendek (10 hingga 15 minit) di bawah bius setempat (dewasa) atau bius umum (seluruh badan) bagi kanak-kanak.

“Untuk kes kronik, biasanya rawatan dimulakan dengan pemberian ubat selama satu hingga tiga bulan. Jika didapati ubat tidak berkesan, doktor akan mencadangkan siasatan lanjutan seperti imbasan CT untuk melihat sama ada pesakit memerlukan pembedahan endoskopi sinus.

“Melalui kaedah ini, pesakit diberi bius umum. Pembedahan dilakukan untuk membuka saluran sinus yang tersumbat bagi meningkatkan pengudaraan. Bahan yang terkumpul dalam sinus akan hilang secara beransur-ansur dan pada masa sama ia boleh mengurangkan kemungkinan serangan berulang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kaedah ini tidak sesuai untuk semua orang, khususnya kanak-kanak di bawah umur enam tahun, orang tua, individu yang ada masalah kesihatan, termasuk pesakit jantung dan pesakit kencing manis yang tidak terkawal.

Jika didapati sinusitis anda teruk, usah biarkan ia berlanjutan kerana melengahkan rawatan boleh menyebabkan masalah nada bertambah buruk. Jangkitan bakteria perlu dihapuskan kerana ia boleh memasuki aliran darah dan mengakibatkan keracunan yang menyebabkan seluruh badan terasa sakit.

Bagi kanak-kanak pula, bakteria yang memasuki badan boleh menjangkiti otak dan mata sehingga menyebabkan komplikasi lebih serius. Jika keadaan ini berlaku dan lewat mendapatkan rawatan, ia boleh membawa maut.

Advertisements

6 Respons to "Serangan Resdung"

Salam,
Ruangan ini amat baik dan banyak memberi pendedahan berkenaan penyakit ini. TQ

Salam Pn Sariyati, terima kasih di atas pandangan anda.

saya pengen nanya..
saya belom mengetahui gejala yang temen saya lamai..namun gangguan terjadi pada bagian hidung.hidung kadang tersumbah menyebabkan sesak napas, kemusian hilang begitu saja, dan terjadang muncul tiba2 lagi. setelah itu, kadang hidung menjadi pilek.nampak nya ini gejala sinusitis. kemudian teman saya, pernah mengalami benturan yang keras pada bagian hidung pula.Dan gejala tersebut telah berlangsung cukup lama bahkan bertahun2.
namun tidak pernah ditangani oleh dokter.apakah ini sinositis kronik??bagaimna cara mengatasinya??apakah perlu dibawa ke dokter spesial?terima kasih..

Hai Devi, sebaiknya kamu berjumpa dengan doktor terlebih dahulu bagi mengetahui masalah sebenar yg dialami. Selain itu, anda juga boleh berjumpa dengan mana-mana Herbalis HPA di kawasan anda. Anda di Indonesia ke? Jika ingin mencuba herba, produk HPA yg sesuai utk masalah resdung/sinositis ialah Coscinium Plus, Pelawas, Roselle dan Teh Herba. Selamat mencuba. Wassalam.

Terima Kasih atas infonya

Salam,saya selalu mengalami selsema lebih kurang 3 hari…tapi baru2 ini selsema saya sudah berlanjutan 1 minggu…hidung tersumbat,hingus bewarna hijau…dan pipi kiri saya sakit kenapa ya? adakah ia sinus?

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

PERHATIAN!

*Mulai sekarang, laman blog ini akan berpindah sepenuhnya ke laman web baru iaitu http://www.duniaherbahpa.com . Segala info terbaru tentang produk dan berita HPA tidak lagi diupdate dalam blog ini. Sebarang pertanyaan dan komen juga hendaklah dikemukakan dalam laman web baru. Harap maklum. Sekian, terima kasih-DuniaHerbaHPA

PERHATIAN!!!

DIHARAP ANDA SEMUA BERI KERJASAMA UNTUK MENGHANTAR APA-APA KOMEN ATAU PERTANYAAN KE LAMAN WEB BARU IAITU www.duniaherbahpa.com . SEGALA KOMEN ANDA DALAM LAMAN BLOG INI TIDAK AKAN DILAYAN. HARAP MAKLUM.

Tanya Online


Muhamad Redza (0193093956)


Mirzan (012-2780799)


Nurul Huda (019-6786881)

%d bloggers like this: